07 November 2009

Sejarah dan Latar Belakang SK Long Tuma

SK Long Tuma terletak di kawasan perkampungan masyarakat lun bawang iaitu di Kampung Long Tuma, kira-kira enam kilometer dari pekan Lawas.

Sejarah SK Long tuma bermula pada tahun 1954 apabila Cikgu Lawrence Pagag Agong iaitu Guru Besar SK Long Semadoh memujuk Penghulu Itai Lakai serta penduduk kawasan Long Tuma untuk mendirikan sebuah sekolah. Pada mulanya terdapat tentangan daripada pihak penghulu. Atas nasihat Pegawai Daerah Lawas iaitu En. John Pike, Cikgu Lawrence Pagag menjemput semua ketua kampung kawasan Lawas Damit untuk berbincang di rumah Penghulu Itai Lakai pada 9.01.1954. Hasil perbincangan tersebut, Penghulu Itai telah bersetuju untuk mendermakan tapak di mana sebuah sekolah akan dibina dan SK Long Tuma bermula pada 23.01.1954 dengan murid seramai 35 orang di lokasi pertama iaitu di atas tapak bangunan balai raya Kampung Long Tuma sekarang.

Pada 10 Januari 1956, SK Long Tuma kemudiannya berpindah ke lokasi baru iaitu di dalam kawasan sekolah kini yang didermakan oleh Penghulu Itai Lakai. Bangunan-bangunan sekolah dibina oleh Majlis Daerah Lawas dalam tahun 1958 di mana alat-alat binaan dibekalkan oleh Hup Lee Sawmill manakala alat-alat persekolahan pula dibekalkan oleh Borneo Evangelical Mission (BEM). Masyarakat kampung bergotong-royong membina bangunan sekolah dan siap dalam masa tiga hari.

Pada tahun 1958, bangunan sekolah ini telah dibuka dengan rasminya oleh Pengarah Pelajaran Sarawak iaitu Mr. MG Dickson dan mula digunakan pada 3 Januari 1959.

MOTTO

"Ilmu Pelita Hidup"
____________________________________________________________________________________________________

VISI

Sekolah Kebangsaan Long Tuma menjadi sekolah cemerlang akademik dan kokurikulum di Lawas menjelang tahun 2010
____________________________________________________________________________________________________

MISI

Memantapkan kepakaran guru
Memantapkan program-program akademik

Memperkasakan program-program 3K
Memperkasakan kebajikan warga sekolah
Mengoperasikan hubungan berkesan dengan masyarakat luar

____________________________________________________________________________________________________


LAGU SEKOLAH

"SK Long Tuma Inspirasiku"

Budaya murni amalan kami
Rajin berusaha tingkatkan ilmu
Bersaing untuk kemajuan diri
Aman dan makmur, contoh sekolahku

"Ilmu pelita hidup" jadi pegangan
"Sekolahku harapanku" adalah slogan
SK Long Tuma sekolah kebanggaanku
Sekolah cemerlang, gemilang lagi terbilang

Guru dedikasi murid terpuji
Pesan ibu bapa sentiasa di hati
Budi pekerti paling mulia
Hidup makmur aman sentosa

Tersergam indah sekolahku
Tetap bersemadi di sanubari
SK Long Tuma nama diberi
Selamat maju dan terus maju

____________________________________________________________________________________________________


LOGO SEKOLAH

LOGO SEKOLAH

Tafsiran Logo Sekolah


1. Bentuk Logo

Melambangkan perjuangan bersama untuk kecemerlangan dalam semua aspek

2. Buku
Melambangkan kepentingan ilmu dalam kehidupan

3. Gelung-gelung
Melambangkan perpaduan rakyat yang erat

4. Pelita
Melambangkan semangat yang sentiasa menyemarak

5. Warna Biru
Melambangkan perpaduan dan muhibah

6. Warna Merah
Melambangkan keberanian dan kesungguhan

7. Warna Kuning
Kesetiaan dan kedaulatan

8. Warna Putih
Kebersihan, kesucian, ikhlas dan amanah

___________________________________________________________________________________________________


BENDERA SEKOLAH

BENDERA SEKOLAH

PIAGAM PELANGGAN SEKOLAH


Kami warga Sekolah Kebangsaan Long Tuma, Lawas dengan penuh tekad dan iltizam berikrar dan berjanji akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk:


1. Mempastikan semua kanak-kanak yang sudah berdaftar mengikut umur, mendapat tempat belajar pada hari pertama persekolahan bermula

2. Mempastikan semua murid akan mula mendapat pelajaran pada hari pertama persekolahan

3. Mempastikan semua murid mendapat kemudahan belajar secukupnya di sekolah disamping kebajikan dan keselamatan mereka terjamin

4. Mempertingkatkan dan mempelbagaikan proses pengajaran dan pembelajaran serta menerapkan nilai-nilai murni

5. Mempastikan semua murid menguasai 3M

6. Mempertingkatkan dan mempelbagaikan proses pengajaran dan pembelajaran serta menerapkan nilai-nilai murni

7. Memberikan peluang yang sama kepada setiap murid tanpa mengira latarbelakang, agama dan keturunan untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik

8. Mempastikan sekolah sentiasa peka dan responsif kepada kehendak dan keperluan murid, masyarakat, jabatan dan negara

9. Mempastikan semua kakitangan sentiasa bergaul dengan harmoni, penuh semangat kekitaan dan menjalankan tugas dengan jujur, ikhlas dan dedikasi disamping itu tidak mengabaikan kebajikan mereka agar terus terpelihara

10. Kami sentiasa menurut perintah dan bersedia melaksanakan arahan-arahan daripada Jabatan Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri serta mempastikan setiap 'return' bulanan dikembalikan sebelum tarikh akhir penerimaan di jabatan

11. Menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat setempat serta agensi lain


Kami warga SK Long Tuma, bersedia dan akan menimbangkan apa juga yang dikemukakan kepada sekolah berkaitan dengan perlaksanaan piagam pelanggan ini.

____________________________________________________________________________________________________